Aktivis Reformasi memandang serius dakwaan bahawa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dan Ibu Pejabat PKR tidak menjalankan siasatan terhadap aduan-aduan salahlaku dan penipuan pemilihan PKR yang dikemukakan kepada JPP dan Sekretariat Ibu Pejabat PKR. Setiausaha Agung PKR, YB Saifuddin Nasution dalam keterangan media beliau November tahun lalu mengesahkan sebanyak 18 aduan pemilihan pusat dan 289 aduan pemilihan Cabang telah diterima oleh JPP. Beliau juga telah memberi komitmen semasa kongres parti pada bulan November tahun lalu bahawa siasatan akan disiapkan dalam tempoh 2 minggu. Tetapi sehingga hari ini selepas hampir 2 bulan berlalu semua pengadu masih belum mendapat jawapan terhadap aduan yang telah dibuat melainkan kata-kata nasihat “Bersabarlah”.
Aktivis Reformasi menzahirkan desakan terhadap JPP dan Ibu Pejabat Parti untuk mengumumkan status siasatan terhadap semua laporan dan aduan yang dikemukakan. JPP mestilah mengumumkan laporan tersebut bagi menjawab segala tohmahan buruk terhadap JPP.
Aktivis Reformasi menggesa Ketua Umum Parti, Dato’ Seri Anwar untuk terus memberi tekanan kepada JPP dan Ibu Pejabat Parti supaya menjalankan siasatan yang teliti ke atas setiap aduan yang dibuat oleh anggota.
Menginsafi bahawa serba-serbi kelemahan yang melanda parti akhir-akhir ini, Aktivis Reformasi menggesa semua pihak untuk memberi kerjasama penuh dan kepercayaan penuh kepada Ketua Umum untuk menyelesaikan kemelut pemilihan PKR dengan cekap.
Bagi mengelakkan isu ini dari dimanipulasi oleh media dan musuh parti, Aktivis Reformasi menggesa Ketua Umum dan Setiausaha Agung untuk tampil memberi penjelasan apakah status sebenar aduan-aduan penipuan pemilihan PKR yang diajukan kepada parti? Atau sekurang-kurangnya memberi janji baru berapa lama masa yang diperlukan oleh pimpinan untuk menjalankan siasatan supaya semua anggota dapat meneruskan kesabaran.
Tindakan pucuk pimpinan yang seolah-olah cuba menyelesaikan kemelut ini dengan cara “buat diam, lama-lama orang lupa” adalah satu tindakan dayus yang memalukan parti dan menghina perjuangan REFORMASI. Sebagai sebuah parti yang memimpin PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat, PKR mestilah memberi contoh teladan yang baik supaya boleh diikuti.
Aktivis Reformasi mendesak dengan tegas supaya isu aduan penipuan pemilihan PKR diselesaikan dengan segera. Kegagalan parti untuk menyelesaikan perkara ini akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap kemampuan parti untuk mentadbir negara sekaligus menjejaskan reputasi Dato Seri’ Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang dinanti-nantikan.
Salam reformasi.
AKTIVIS REFORMASI
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan