Isnin, 11 Januari 2010

Kesesatan melayu pada agama dan bangsanya

Pada ketika percaturan dewaraja feudalisme melayu ketika ini sedang hebat "menjuarai" fikiran rakyat melayu dengan menjadi pahlawan "pondan" pada isu " Kalimah Allah" yang kononnya hanya menjadi milik umat melayu islam semata - mata maka ,marilah renungi akan kejahilan Melayu - islam itu dalam kesesatan cahaya agamanya yang semakin hari semakin pudar. Kadang kita jua agak lupa apa yang di perkata kan dalam kata - kata wahyu;
"maka jika Allah itu tuhan ku yang disembah ,maka ia jua adalah tuhan mu jua"
petikan surah al- ankabut.
Tetapi apa yang mahu di ceritakan di sini adalah lebih dari itu.Melayu itu bukan sahaja sesat dalam cahaya agama yang di perkotak - katik malah dalam neraka feudalisme yang menciptakan neraka buat umat melayu yang bertopengkan wahyu tuhan semata - mata.
Mari kita Renungkan ini kah melayu itu?

BANANG : SEBENARNYA MELAYU TAK PERNAH WUJUD - EPISOD II

Manusia, dalam makna sempurna, adalah makhluk budi. Saat manusia tunduk pada hukum budi, maka terperciklah sifat-sifat kemanusiaannya.


Budi, atau budhi, memang kata meriah. Semangatnya ada di mana-mana. Sekiranya di Deutschland, kata ini sedondon dengan Geist, atau Bildung, yang bererti ¨mengikat apa yang ada dalam diri manusia.¨ Bahkan, kata budi juga disekutukan dengan pangkal kata Buddha—ajaran hikmah yang gigih meleburkan kelas-kelas dalam masyarakat.


Tatkala budi bertemu daya, lalu membentuklah budaya, akar kata kebudayaan. Demikian hemat Sutan Takdir Alisyahbana dalam Values As Integrating Vorces in Personality, Society and Culture.


Sutan Takdir Alisyahbana merupakan sosok yang mula-mula memadankan kata meriah ini. Maknanya, “saranan fikiran ke arah menatijahkan perkara-perkara yang baik.” Namun, kita sedar, membangunkan budaya bukanlah kerja ranting. Kalau pengalaman Tamadun Melayu saja, binaan budayanya itupun sudah memamah waktu. Sejarahnya panjang, dan terselit kelelahan-kelelahannya yang tersendiri. Kelelahan pertama adalah mencari identiti diri. Dan, kelelahan terakhir adalah salah memaknai diri.


Lalu ada pilihan mudah, di mana ada yang menyandarkan permulaan Tamadun Melayu pada manuskrip terawal, kitab al-’Aqaid an Nasafi. Walhal, Tamadun Melayu bukannya creatio ex nihilo dari abad ke-13.


Melayu itu berleluhur, dan penuh perhiasan. Seni pantun adalah antara kebitaraannya, selain peribahasanya. Pada kedua-duanya terlampir alunan budi bangsa yang merentasi Madagascar hingga ke Hawaii ini. Malah, kehalusan ini dirakam Lim Kim-Hui dalam tesis doktoratnya di Universität Hamburg dengan judul Budi as the Malay Mind: a Philosophical Study of Malay Ways of Reasoning and Emotion in Peribahasa.


Bahkan, atas sisipan nama budi inilah juga, Usman Awang merakamkan sebuah sajaknya. Katanya dengan puitis, Melayu itu ¨akar budi bersulamkan daya.¨ Maksudnya jelas, tanpa pemberdayaan budi takkan terzahir kemolekan kebudayaan Melayu itu. Melayu, sepatutnya kaya dengan budi. Tapi sayunya, Usman Awang ada menambah lagi. Baginya, Melayu itu juga, ¨setia dan sabar tanpa sempadan.¨ Ini barangkali terang melukiskan ciri ketaatan Melayu yang tiada perinya.


Di sinilah yang menarik untuk diteroka—mengapa Melayu boleh setia dan sabar tanpa sempadan?



Apakah sebenarnya bentuk kosmologi Melayu yang terpupuk dalam sejarahnya? Jika dihimbau, kosmologi feudalisme Melayu—yang sabar dan setia tanpa sempadan—ini memang kental dalam jiwanya. Bukan zaman pra-Islam semata, hatta kosmologi feudalisme ini turut mekar pada zaman pasca-Islam. Kunjungan Islam, rupa-rupanya belum cukup ampuh. Semangat feudalisme tidak runtuh, tapi terus terpasak.


Sebab itu, jangan keliru antara Melayu dengan Melayu-Islam, atau dengan Islam. Masing-masing berbeza. ¨Tiada Melayu tanpa Islam¨ itu hakikatnya takrif Melayu yang lemah sejarahnya. Mujur, Islam yang sampai ke sini tak sempat tenggelam di Laut Hindi atau di Laut China Selatan.


Islam, yang menerusi Hikayat Raja-Raja Pasai, dikatakan pertama kali singgah ke Alam Melayu sekurang-kurangnya seawal abad ke-13. Tapi, nun semenjak saat Islam pertama kali diwahyukan di Hira´, tidak pernah terbersit cita-cita feudalisme.


Semak saja pesan-pesan nubuwwah—seluruh tujuannya adalah untuk menghancurkan rasa perbezaan. Lantas, Islam itu berdiri teguh atas nama taqwa. Diri Nabi sendiri, di utus bukanlah sebagai raja, tapi sebagai utusan yang maha esa. Sang Nabi pernah ditawar untuk bertakhta, tapi ditolaknya. Maka, Islam yang pertama sekali - kali sudah berkata tidak pada feudalisme.


Arakian, perlahan-lahan bentuk politik muslim berkembang. Dari khilafah kepada dinasti. Dari Umaiyyah, kepada Abbasiyyah, dan terus bersambung pada Uthmaniyyah dari empayar kepada empayar, sebelum akhirnya runtuh.


Namun, hampir tiada dalam pengalaman politik muslim pasca -Nabi yang benar-benar menjiwai pesan keadilan Islam. Sebaleknya, semuanya seakan terbingkai pada feudalisme, dan tunduk pada takhta yang dikeramatkan. Kejernihan Islam—tanpa feudalisme—segera tersorok ke dalam jubah agamawan istana. Sedangkan, Imam al-Ghazzali dalam Ihya´ ´Ulumuddin, sudah mengingatkan, ¨agamawan yang masuk ke Istana akan hilang cahayanya.¨(lihat lah contoh hari ini di perlihatkan akan perwatakan Harussani Zakaria)


Tidak cukup dengan itu, doktrin ¨pemimpin muslim yang zalim lebih baik dari pemimpin kafir yang adil¨ terus dijaja. Rumusan Ibn Taimiyyah dalam Minhaj as-Sunnah an-Nabawiyyah itu—walaupun dalam konteks yang berbeza—dibiar berumbi dalam fikiran muslim. Sampai selanjutnya, tanda terus tidak mampu untuk menghadirkan makna. Inilah yang terpantul pada Melayu-Islam.

Islam yang pertama kali datang ke Alam Melayu tidak terus mendakap rakyat. Tapi bersimpuh dulu ke lantai istana. Islamlah istana, bererti Islamlah seluruh rakyat jelata. Bertolak saat itu, iman pada Melayu lebih dikenal dari tanda bukan dari makna. Beransur-ansur bersemilah iman istana.

Betapa mudah pengislaman di Alam Melayu. Berbeza di Jawa, seraya perlawanannya cukup sengit. Sebahagian Alam Melayu bertuah, kerana sempat berbaur Buddha sebelum ketibaaan Islam. Justeru, Islam lebih mudah terkamir di belahan lain, berbanding Islam di Pulau Jawa. Tanpa ada sentuhan Buddha sebelumnya, sudah pasti pengislaman memang berganda berat—meski itu belum cukup untuk mengusur feudalisme.

Iman istana, adalah iman yang ditakluk feudalisme. Kerana itu, jarang kita dipotretkan penderhakaan sebagai tindakan mulia, meski perjuangannya adalah untuk mengangkat harakat kemuliaan insan. Mithal saja Hang Jebat, akhirnya yang terpapar pada kita adalah nasib seorang penderhaka demi menegak kan keadilan buat seorang Teman.

Tentu sebuah lagi kebebalan supaya sayugia sekonyong - konyongnya tunduk kepada Feudalisme maka di manipulasi akan watak Hang Tuah yang memiliki kesetiaan yang tiada bersempadan maka di label Jebat itu penderhaka pada agama dan bangsa dan kekal di hukum dalam lembaran sejarah "penipu" melayu.

Tentu lebih pilu lagi episod tragis Laksamana Bentan yang bangkit melawan feudalisme,demi menuntut keadilan atas kematian isteri tersayang yang di zalimi raja.Maka sebagai hukuman pada lembaran sejarah melayu maka di al-kisah kan perwira bangsa ini sebagai penderhaka yang mati pada tulah dan daulat Feudalisme sedangkan Laksamana Bentan di lihat terus gah pada Zamannya sebagai pejuang penegak keadilan dan perwira penentang kezaliman.Tapi Malangnya Semua itu(sejarah melayu) adalah natijah yang ditampal dalam tradisi kita dan membebalkan pemikiran generasi supaya jangan sesekali berani melawan feudalisme. Tanpa ehsan, kata istana adalah kata absah. Sebuah hukum saja: derhaka tetap derhaka, murka tetap murka, hukuman tetap hukuman. Tiada pilihan melainkan, Melayu harus ¨setia dan sabar tanpa sempadan.¨ Ini lah kebodohan yang di tampalkan pada hamparan persepsi minda umat melayu.

Begitulah jua antara kosmologi Melayu-Islam. Tapi, persoalannya, mengapa Melayu ini terus terwajah demikian meskipun di bawah naungan Islam yang membebaskan itu?

Bukanlah paradoks. Jiwa melayu sudah lama terheret dengan feudalisme. Melayu pra-Islam adalah Melayu yang bergelumang bersama feudalisme. Kosmologi ini terukir kemas pada beberapa prasasti Melayu kuno—yang mengambarkan betapa tebalnya feudalisme dalam masyarakatnya. Ini termasuklah beberapa prasasti Srivijaya yang ditemui di Kota Kapur (Bangka), Telaga Batu (Sumatera Selatan), dll.

Kalau belakangan sewaktu abad ke-4 pula, muncul prasasti Melayu Champa yang jelas menegaskan akibatnya menderhaka. Amaran feudalisme pada penentangnya sangat keras sekali; yang derhaka pada istana, kelak akan terhukum ke neraka seribu tahun (sarivu tjuh kulo ko), dan yang setia dan sabar tanpa sempadan, akan dianugerahkan hadiah dari syurga (labuh nasi svarggah).

Bentuk kosmologi dewaraja sebeginilah yang terus mewarnai kosmologi sebahagian minda Melayu sampai dewasa ini. Meskipun kosmologi teratai beransur menipiskan perbezaan kelas, tapi dampaknya tidak memadai.

Dalam buku Pembinaan Semula Teori Kepemimpinan dan Kepengurusan Rumpun Melayu, Shaharir Mohamad Zain ada memuatkan pengalaman kerajaan Gunung Funan(pernah di ulas oleh seorang pengkaji melayu di laman blog ini). Pada abad ke-11, tercatat atas sebuah prasasti bagaimana sumpah diabadikan. Atas nama api, atas nama Brahma, atas nama Archarya, pegawainya telah dititah agar berikrar patuh pada raja, biar apapun aral yang melanda. Jika derhaka, harus saja mereka menerima segala hukuman ke atas dirinya, keluarganya dan seluruh keturunannya.


Maka, apa lagi yang tinggal untuk kebebasan? apa lagi yang tinggal untuk keadilan?

Sampai detik ini pun, feudalisme tidak berakhir, sekalipun ada khalayak sudah mulai berfikir. Bezanya, tidak seperti dulu, kini institusi feudal bukan lagi bersifat mutlak. Walau bagaimanapun, saki-baki feudalisme dalam minda bangsa Melayu memang sukar dihakis.

Sebab itu, meskipun Melayu itu tampak gagah bertarung dengan imperialisme, tapi akhirnya mereka tetap saja gugup bila bertembung dengan feudalisme. Institusi kuning ini terus dianggap tiang seri pada kebudayaan Melayu dan juga Melayu-Islam. Inilah nasib Banang, bangsa yang terus terbuai pada tanda, biarpun maknanya sekian kali hampa.

Banang, adalah kata pertama untuk bangsa Melayu. Bangsa Banang, atau orang gunung ini(di rujuk dari nama rakyat yang di perintah pada era kerajaan Funan), sentiasa menjadi rakusan politikus yang sentiasa berselingkuh antara istana dan agamawan. Bagi sebahagian rakyatnya, mereka lebih rela menderhaka pada makna-makna, namun tunduk sepi pada tanda-tanda. Jadi, sudah lumrah jika ada yang gementar dengan murka istana, tapi murka Tuhan siapa yang peduli? hukum yang maha Esa siapa yang ambil tahu?

Melayu kekal kaku laksana pra -Pasti. Memang malang! Bertuah buat pemimpin bangsa ´budiman´ ini. Terbentang selonggok laba yang tidak ternilai. Itulah Melayu, resmi lalang. Apa kata pemimpin, itulah kebenaran mutlak! apa sahaja keadaan pemimpin,walau jahat,zalim dan keji terus di terima seadanya(contoh yang paling tepat adalah Najib Tun Razak) Melayu bebal tak bertempat, bodoh tak terdidik,Melayu tegar berselingkuh dalam kebodohan.Melayu rela memilih "sial" dan kemurkaan Tuhan semesta alam.

Sehingga itu pun pemimpinnya mahu meluluhkan bangsa dan bahasanya sendiri, itupun kelak dianggapnya wawasan geliga. Malahan, kita rela hanyut menadah titah tanpa berfikir, lantaran semuanya sudah difikirkan oleh sang pemimpin. Kalau ada gugatan, maka pandai pula mereka berselindung di sebalik tirai kuning dan tabir mimbar(lihat saja fenomena Harussani Zakaria dan tragedi pencabulan demokrasi di perak). Benar sekali Usman Awang. Melayu itu “setia dan sabar tanpa sempadan,” sungguhpun kepimpinannya amat sewel dan Sungguhpun persepsinya amat bebal sekali.

Sebab itu, kita tidak perlu bangga dengan kata budaya lagi. Takrif Sutan Takdir Alisyahbana masih gagal dimaknai dalam jiwa - jiwa bangsa "sial" ini. Budaya itu adalah kata suci. Tapi, budaya "sial" Melayu yang dibangunkan adalah feudalisme: mudah ikut ketua, bukan mudah lupa ,itu ternyata tidak sesuci maknanya

Andai kata sampai pada Suatu masa nanti satu gerakan ketumbukan berpaksikan satu Pakatan yang di tegak kan oleh Rakyat,melaungkan laungan sosialisma Ketuanan Rakyat dengan ampuh berjaya menawan mercu pemerintahan melayu ini,mungkinkah dia jua akan tunduk membisu pada feudalisme? pasti akan ada yang mempertikaikannya ke manakah menghilangnya Feudalisme? akan merempat lah melayu tanpa Feudalisme ! begitu lah bodohnya melayu itu,sejauh mana hilangnya "sial" itu tetap di cari nya jua.

Akan tetapi cita - cita membina satu hamparan kerajaan atas nama keadilan lantas menumbangkan kebebalan citra - putraresa Melayu - Islam yang tak pernah wujud dan sengaja membebalkan pemikiran manusia pasti berjaya.

Islam melorong ke arah pemerintahan rakyat yang adil dan saksama,tetapi pancawarna pembebalan fikiran manusia ke arah idealisma mazhab Melayu - Islam yang menjadi penipu kepada umat nabi Allah,menjadi pembohong kepada rasul - rasul utusan Tuhan dari Nabi Adam hingga ke wal akhir - rul al - khatamul anbiyyak yang melorong manusia ke arah pemerintahan yang bersandar feudalisme yang sombong dan dangkal mengundang umat melayu itu sendiri ke arah era yang penuh dengan kehinaan.

MELAYU-usman awang

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani semua Melayu, Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua’alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya,
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya,
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya,
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal,

Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali,
Sedang orang mencapai timba.

Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan.

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan dihulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut.

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;

Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keADILan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka!

Bukannya negara yang di reka - reka.

Tiada ulasan: