Khamis, 27 Januari 2011

Tindakan Anwar Merendah-Rendahkan Saifuddin Dikesal

.Krisis dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) bergolak. Ketika PAS sedang berjuang dan berperang di kubu terkuat Umno, PKR menyajikan isu-isu negatif kepada kepada umum. Ketika DAP kelihatan berjaya membawa sokongan Cina kepada Pakatan Rakyat (PR), PKR terus dilanda krisis buruk yang menjejaskan rentak kecemerlangan PR. Banyak sekali teman-teman sudah mula menerbitkan kegusaran terhadap situasi PKR.

Krisis demi krisis yang belum lagi berkesudahan sejak pemilihan Parti merakamkan sejarah insiden pergaduhan dan penipuan undi. Akibatnya, sungguh mahal harga yang perlu dibayar semua anggota Parti dan pendokong Reformasi kesan dari sikap ambil mudah pemimpin parti dalam membuat keputusan dan menentukan halatuju terbaik perjuangan politik parti.

Saya terpanggil untuk memberi pandangan terhadap tindakan Setiausaha Agung parti, YB Saifuddin Nasution yang menghantar surat tunjuk sebab terhadap Mustaffa Kamil Ayub atas dakwaan telah melakukan kesalahan yang melanggar disiplin parti.

Amat di luar jangkaan cara dan kandungan surat tersebut yang datangnya dari Saifuddin Nasution. Surat tersebut ditulis dengan nada yang sangat keras, berbaur ugutan dan penuh dendam kesumat. boleh memahami sebab YB Saifuddin dikritik hebat semasa pemilihan parti 3 bulan lalu.

Imejnya sebagai tokoh politik muda yang dihormati rakan serta lawan kini tercalar teruk, malahan sekarang dituduh pula sebagai arkitek penting dalam projek memahkotakan Anwar dan Azmin menjadi dewa dan dewi baru PKR.

Namun begitu kritikan yang beliau terima tidak boleh dijadikan alasan untuk beliau bertindak secara beremosi atas kuasa Setiausaha Agung. Amat tidak wajar Saifuddin yang sebelum ini mencampuri keputusan-keputusan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) kini seolah-olah menggunakan Lembaga Disiplin parti untuk melunaskan dendam kesumat beliau terhadap mana-mana pihak yang mengkritik beliau sebagai Setiausaha Agung atas kelemahan JPP dan Ibu Pejabat PKR.

Kenyataan beliau yang dilaporkan portal The Malaysian Insider bahawa beliau tidak ingat samada ada menandatangani surat tunjuk sebab terhadap Mustaffa Kamil kerana beratus-ratus surat telah beliau tandatangani Adalah Adalah" adalah jelas kenyataan yang mempersendakan Mustaffa Kamil Ayub.

Adalah tidak masuk akal isu perlanggaran disiplin oleh Sdr. Mustaffa Kamil, calon jawatan Timbalan Presiden, bekas Naib Presiden parti dan bekas Setiausaha Agung parti tidak berada dalam perhatian Setiausaha Agung PKR.

Kalau benar memang beliau tidak ingat, ini jelas menunjukkan sikap ambil mudah atau sambil lewa beliau dalam menjalankan tugas Setiausaha Agung parti. Justeru, tidak peliklah kenyataan beliau dalam Kongres Tahunan Parti bahawa semua aduan pemilihan PKR akan diselesaikan dalam tempoh dua minggu tetapi sehingga sekarang, selepas tiga bulan aduan-aduan tersebut masih belum lagi selesai.

Saya terpanggil untuk mengkritik Setiausaha Agung secara ikhlas kerana saya berpandangan banyak kenyataan serta tindakan sambil lewa YB Saifuddin Nasution membawa kepada kemarahan anggota parti dan memberi peluang kepada musuh untuk menyerang parti.

Untuk berlaku adil kepada YB Saifuddin, tindakan Ketua Umum yang mengeluarkan kenyataan bahawa surat tunjuk sebab terhadap Mustaffa Kamil Ayub yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung atas saranan Lembaga Disiplin itu tidak efektif dan akan dibincangkan semula oleh Biro Politik juga wajar diambil perhatian.

Tindakan Ketua Umum mengubah keputusan sewenang-wenangnya berdasarkan gerak hati beliau adalah dua kali lebih melampau. Beliau bukan sahaja merendahkan keputusan Setiausaha Agung parti, malahan beliau juga mempersendakan semua orang dengan mengeluarkan kenyataan secara sesuka hati kepada umum untuk mengubah keputusan yang telah dibuat.

Tiada ulasan: