Sabtu, 12 Februari 2011

Mubarak tumbang, rakyat sangsi tentera tetap kuasai Mesir

ANALISIS, 12 Feb — Presiden Hosni Mubarak sudah pergi! Kebangkitan rakyat sudah mencapai matlamat pertama mereka. Sejak kebangkitan rakyat 25 Januari, mereka menamakan tanggal 4 Februari lalu sebagai “Jumaat, Hari Berundur”. Ia hanya menjadi kenyataan semalam - mereka menamakan sebagai “Jumaat, Selamat Tinggal (buat Hosni)”.

Mesir dengan 80 juta penduduk masih berada dalam gelombang kejutan dan kegembiraan dengan perkembangan yang tidak diduga sama sekali .Hosni akan berundur secara tiba-tiba sedangkan sehari sebelum itu mengulangi ketegasan akan kekal berkuasa sehingga September ini.

Persoalan susulan — sama ada majlis tertinggi dipimpin tentera boleh menunaikan harapan kedua rakyat — membawa peralihan kuasa ke arah sistem kerajaan yang lebih bersifat demokrasi. Ataupun kembali ke rejim lama - kerajaan dipimpin oleh pemimpin tentera.

Hosni yang mengambil alih jawatan presiden 1981 merupakan seorang komander tentera. Tiga dekad yang lalu, Hosni menggantikan Anwar Sadat yang mati ditembak ketika menyaksikan perarakan sambutan kemerdekaan. Hosni duduk bersebelahan dengan Anwar.

Hosni selaku komander Tentera Udara Mesir dan Timbalan Menteri Pertahanan ketika itu telah memainkan peranan yang penting dalam soal perancangan mengadakan serangan mengejut ke atas tentera Israel yang menduduki semenanjung Sinai, yang membawa kepada Perang Yom Kippur pada 1973.

“Semua ini adalah pengikut rejim (Hosni), kesemua mereka dipilih sendiri oleh Hosni,” kata Nader Hashemi, profesor madya dari Universiti Denver, merujuk kepada majlis tertinggi tentera kini mengetuai Mesir.

“Mereka ini ada kaitan dengan kesetiaan kepada Hosni Mubarak,” kata beliau dipetik msnbc semalam.

Pun begitu tentera Mesir lazimnya memiliki keyakinan rakyat negara itu, berbeza dengan pasukan keselamatan lain dan polis negara itu.

Bagaimanapun mereka masih khuatir sama ada kepimpinan kanan tentera benar-benar akan menerima desakan diadakan perubahan politik.

Badan mentadbir baru negara - Majlis Tertinggi Tentera Udara Mesir - Jeneral Omar Suleiman yang dilantik sebagai naib presiden Mesir akhir bulan lalu ketika kebangkitan rakyat dan beliau juga bekas ketua risikan; Menteri Pertahanan Mohammed Hussein Tantawi, ketua staf tentera Mesir Lt Jen Sami Anan dan Menteri Penerbangan Awam Ahmed Shafiq.

Turut dilaporkan menghadiri mesyuarat tergempar majlis itu semalam ialah ketua komander tentera laut Laksamana Muda Mohab Mamish, komander Tentera Udara Marsyal Udara Reda Mahmoud Hafez Mohamed, dan komander pertahanan udara Lt. Jen Abd El Aziz Seif-Eldeen.

Status Omar, yang mengumumkan keputusan Hosni meletakkan jawatan semalam masih belum jelas.

Strarfor, firma risikan global Amerika Syarikat dalam satu e-mel kepada pelanggan-pelangganya mengingatkan bahawa “kenyataan Omar adalah petunjuk jelas bahawa tentera pimpinan Menteri Pertahanan telah mengadakan rampasan kuasa.

“Tidak jelas sama ada Omar akan kekal mengetuai kepimpinan awam dalam kerajaan diterajui tentera,” katanya.

Seorang pegawai Amerika Syarikat dipetik NBC News percaya bahawa Omar, 74, akan hilang daripada radar politik semasa negara itu.

Sumber itu berkata, pegawai-pegawai tentera menemui Obama malam kelmarin selepas Hosni menyampaikan ucapan menerusi TV kerajaan bahawa tidak akan meletakkan jawatan.

Matthew Axelrod, bekas pengarah Mesir di Pentagon dan sarjana Fulbright berkata, nasib Omar akan menggambarkan kesediaan majlis tentera untuk menerima pembaharuan politik.

Jika Omar meninggalkan pentadbiran Mesir, katanya, muka baru akan datang dan sekali gus akan membuka kepada arah aliran kepimpinan.

Pengaruh Menteri Pertahanan dalam majlis tentera dilihat sebagai petunjuk arah aliran badan itu.

Pegawai-pegawai Amerika Syarikat menggambarkan Mohammed Hussein, 75, sebagai seorang “keberatan untuk melakukan perubahan.”

Menurut maklumat Jabatan Negara 2008 yang didedahkan oleh WikiLeaks, Mohammed Hussein “membantah kedua-dua pembaharuan ekonomi dan politik yang menurutnya akan menghakis kuasa kerajaan pusat.”

Sama ada peranannya akan bergerak ke depan ataupun sebaliknya, kata Nader iaitu ahli panel pakar msnbc, anggota-anggota majlis tertinggi menganggap mempunyai kedudukan besar dalam mempertahankan status quo politik dan ekonomi.

“Dalam mana-mana sistem autoritarian, satu cara untuk memantapkan kuasa politik dan mewujudkan kesetiaan ialah memberi bahagian ekonomi kepada tentera, agar mereka ada pelaburan yang lebih besar dalam sistem politik sebagaimana wujud,” katanya.

Majlis tentera telah menjanjikan pemilihan presiden yang bebas dan adil pada September ini.

Kenyataan dibacakan oleh wakil majlis tentera semalam berkata tidak akan bertindak sebagai pengganti kepada kerajaan yang sah.

“Kami tahu graviti dan keseriusan isu ini dan tuntutan-tuntutan rakyat bagi menggerakkan perubahan yang radikal,” kata kenyataan itu.

“Majlis tertinggi tentera sedang mengkaji isu ini untuk mencapai harapan rakyat kita,” kata kenyataan itu.

Mengambil kira kepimpinan tentera di Mesir selama ini, setiap tiga daripada empat presiden sejak republik Mesir dibentuk pada 1953, merupakan pegawai tentera, ramai pemerhati masih skeptikal bahawa majlis terbaru ini akan membawa perubahan sebagaimana diharapkan rakyat jelata.

Tiada ulasan: