Ahad, 6 Februari 2011

Sedia Debat Dengan Siapa Saja -Nik Abd Aziz


KL 6 Feb 11
: Bernama melaporkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi menegaskan beliau sedia berdebat tentang Islam dengan sesiapa saja, tetapi orang itu mestilah mempunyai kedudukan dan tauliah.

Nik Abdul Aziz lantas mempersoalkan kedudukan dan kredibilit Pengerusi Biro Agama Veteran Umno Kelantan, Prof Mohd Noor Deris yang ingin berdebat dengan beliau. Dalam kenyataannya semalam, Mohd Nor menyatakan kegembiraannya kerana Nik Abdul Aziz menyahut cabarannya itu dan akan menghantar surat bagi tujuan itu dalam tempoh terdekat.

Ditanya mengenai kenyataan Mohd Noor itu, Menteri Besar Kelantan itu berkata, Islam tidak melarang umatnya berdebat untuk mencari kebenaran dalam soal agama, malah ia digalakkan asalkan meletakkan al-Quran dan hadis sebagai "orang tengah".

“Saya sedia berdebat dengan sesiapa sahaja, asalkan mereka mempunyai tauliah dan ada kedudukan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Al-At'am, di Dataran Pasir Pekan, dekat Tumpat hari ini.

Menurutnya, isu perdebatan mengenai agama dengan ulama, termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan sendiri sudah lama ditimbulkan tetapi tidak pernah menjadi kenyataan. Beliau juga bersetuju suatu kaedah berkesan dicari bagi mengelakkan ia menimbulkan kesan buruk hasil perdebatan itu.

“Bagaimanapun, saya mahu kaedah perdebatan itu dibuat secara terbuka... bagi membolehkan orang ramai mengetahui dengan jelas mengenai topik yang menjadi persoalan," katanya.

Sementara itu, Badan Perhubungan Umno Kelantan menyokong debat antara Nik Abdul Aziz dengan pihak-pihak tertentu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Ulama Veteren Umno negeri itu, Prof Mohd Nor Deris. Timbalan Pengerusi badan itu, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata debat itu termasuk dengan Majlis Fatwa Kebangsaan bagi merungkai banyak kekeliruan yang ditimbulkan oleh menteri besar itu sebelum ini. Demiikian Bernama.

Di Kota Bharu pula, pejabat Menteri Besar Kelantan menjelaskan, tidak timbul langsung soal Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sedia berdebat dengan Mohd Nor Idris sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah media di sini. Ini kerana, apa yang Nik Aziz kata adalah beliau sedia berdialog atau berbincang dengan Majlis Faktwa Kebangsaan bukannya berdebat dengan Mohd Nor yang tidak mempunyai sebarang jawatan yang boleh menggubal dasar kerajaan.

Penjelasan ini dibuat oleh Setiausaha Akhbar MB, Ahmad Fadzil Shaari ekoran laporan muka depan Sinar edisi Kelantan yang memaparkan kesediaan Nik Aziz berdebat dengan Mohd Nor.

"Sukalah diperjelaskan bahawa tajuk dan laporan berita tersebut sama sekali tidak benar. Apa yang berlaku ialah YAB Tuan Guru ditanya berkenaan desakan Mohd Nor Deris agar Majlis Fatwa Kebangsaan membincangkan kenyataan beliau yang di dakwa menjejaskan akidah.

"Menjawab pertanyaan tersebut, YAB Tuan Guru bersetuju agar kenyataannya dibincangkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Persetujuan tersebut termasuklah mengadakan perbincangan antara beliau dengan Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Tidak timbul isu berdebat dengan Mohd Nor Deris yang tidak mempunyai apa-apa jawatan di dalam kerajaan sebagai penggubal dasar. Secara logiknya, individu yang layak berdebat dengan Menteri Besar Kelantan yang juga al-Mursyidul Am PAS tentulah tokoh yang mempunyai jawatan berpengaruh di dalam kerajaan atau parti," kata Fadli dalam kenyataannya.

Akhbar Sinar Harian Edisi Kelantan 05 Februari 2011 lalu menyiarkan di muka depannya berita bertajuk “NIK AZIZ SETUJU DEBAT : Sahut Cabaran Ulama UMNO Isu Kenyataan Jejas Akidah.”

Bagi Fadli, laporan di dalam akhbar Berita Harian yang merujuk kepada kenyataan yang sama lebih berkredibiliti dan menepati maksud sebenar YAB Tuan Guru. "Justeru, laporan yang tidak tepat seperti yang tersiar di dalam akhbar SInar Harian Edisi Kelantan tersebut amatlah dikesali," katanya. (HD)

Tiada ulasan: