Khamis, 10 Mac 2011

Islam Komunis : Bagaimana Candu bercampur dengan agama?

Karl Marx telah duduk membaca berbulan-bulan dalam Perpustakaan Nasional London untuk menghasilkan buku Das Kapital. Dalam buku-buku tulisan Karl Marx dia telah menerangkan bahawa agama adalah candu untuk umat manusia. Saya cukup yakin tulisan Karl Marx ini tidak lengkap.

Saya tidak perlu duduk berbulan-bulan di Perpustakaan Negara di Kuala Lumpur untuk membuktikan bahawa tulisan Marx ini tidak lengkap. Saya tidak perlu membaca bertimbun-timbun buku untuk membuat kajian. Tidak perlu membuat kaji selidik untuk membuktikan bahawa kenyataan Karl Mark ini hanya setengah betul.

Saya hanya perlu membaca akhbar-akhbar Malaysia terutama akhbar Melayu arus perdana. Melalui pembacaan akhbar Melayu ini saya berani menambah satu lagi ayat tentang agama: di Malaysia agama bukan hanya candu tetapi telah dijadikan topeng.

Minggu ini saya terbaca berita dari akhbar Melayu tentang seorang gedebe polis yang telah ditahan kerana tuduhan rasuah. Gedebe polis ini akan dibicarakan. Ertinya kita belum tahu sama ada dia bersalah atau tidak. Saya bukan ingin membuktikan salah benar si gedebe ini. Saya hanya ingin menunjukkan bagaimana Karl Marx kerana tidak tinggal di Malaysia maka kajiannya tentang agama tidak lengkap.

Sebelum tangkapan dilakukan, si gedebe polis ini telah mengadakan sidang akhbar tergempar dengan tergesa-gesa. Kenapa tergempar? Saya yakin mungkin ramai pembaca yang kurang jelas apakah makna dan tanda sidang akhbar tergempar ini.

Akhbar arus perdana telah memberi sudut laporan tentang si gedebe ini telah cuba menerangkan duduk perkara sebenar-benarnya. Si gedebe ini membuat kenyataan bagaimana dia sedang dijadikan ‘mangsa’ perebutan ‘harta perang’ dalam kontinjen gedebe-gedebe polis. Dia dituduh melakukan rasuah. Untuk saya, ini sudut laporan berita yang tidak tepat.

Jangan salah baca – agenda rasuah polis ini bukan sesuatu yang menggemparkan. Ini telah diketahui oleh orang ramai. Berita tentang polis rasuah bukan satu yang baru. Berita ini telah bergantang-gantang keluar dan dilaporkan berbulan-bulan lebih awal di blog-blog. Malah surat-menyurat dan surat ‘samun’ para gedebe-gedebe ini juga telah ada dipaparkan dalam pelbagai blog.

Sidang akhbar tergempar ini ialah tentang umrah. Sidang akhbar ini dirancang untuk memberitahu kepada orang ramai terutama orang Melayu bahawa si gedebe polis yang memiliki harta karun ini hendak pergi berumrah. Umrah adalah induk dan inti cerita yang ingin disampaikan dalam sidang akhbar tergempar ini.

Kepada orang kampung saya di Jelebu, umrah ini dipanggil haji kecil. Haji kecil ini ialah salah satu dari kerja ibadah yang dituntut oleh agama Islam. Ianya bukan wajib tetapi untuk Muslim yang berkemampuan – ada modal dan dana - maka membuat umrah ini digalakkan.

Di sidang akhbar itu, si gedebe ini berkata “jangan ganggu saya kerana saya ingin ke umrah”. Inilah sebenarnya isi dan inti sidang akhbar tersebut. Bila kata-kata ini dilafazkan si gedebe ingin menyalurkan maklumat terutama kepada orang Melayu bahawa dia seorang yang alim lagi warak. Pengikut agama yang jujur. Mukmin yang kudus lagi taufus.

Perkataan umrah ditaburkan bertujuan untuk mengolah persetujuan pembaca bahawa – tidak mungkin orang yang ke umrah terlibat dalam hal rompakan atau jenayah. Perkataan umrah bergerak di bawah sedar secara halus untuk meyakinkan orang ramai bahawa si gedebe ini suci bersih. Insan yang putih. Lebih putih dari putih, seputih sabun Breeze.

Pembaca dan orang ramai terutama orang Melayu apabila mendengar bunyi perkataan Arab seperi umrah maka dengan serta-merta akan menganggap sesiapa yang bersangkutan dengan perkataan ini adalah insan suci. Insan suci ini tidak mungkin terlibat dalam rompakan atau jenayah. Malah tidak mungkin insan ke umrah akan terlibat dalam kerja-kerja berat seperti menerima rasuah. Di sidang akhbar tergempar ini, perkataan umrah bergerak di bawah sedar secara halus membawa makna kesucian dan ketakwaan terhadap Yang Maha Esa.

Ini adalah bukti bagaimana agama telah digunakan secara licik untuk menjadi topeng pendinding.

Ke umrah ini bukan hanya di monopoli oleh gedebe polis ini. Orang-orang politik juga sering menggunakan perkataan Arab ini sebagai sabun dan seterika untuk melahirkan ‘baju-baru’. Seperti sabun Breeze atau sabun cap kapak, umrah telah digunakan untuk membersihkan diri setiap kali si politikus menghadapi masalah politik.

Saya masih ingat lagi apabila Musa Hitam meletakan jawatan ada berita yang menyatakan dia ‘ke umrah’ walaupun tidak lama kemudian dia muncul di London. Seorang politikus perogol budak di bawah umur juga telah ‘ke umrah’ dengan dihantar oleh para macai dan balachinya di lapangan terbang apabila tuduhan ‘rogol’ mula tersebar luas di media.

Ke umrah, berumrah atau di umrah - telah dijadikan satu tanda suci dalam budaya Melayu Baru. Ini samalah seperti satu ketika dahulu bagaimana perkataan Haji dan Hajah telah digunakan sebagai nama tambahan. Ini juga ada satu pengolahan persetujuan agar tambahan Haji/Hajah ke atas nama itu akan membawa makna si pembawa nama ini adalah insan kamil lagi warak.


Malah saya juga pada satu ketikan dahulu terperangkap dengan nilai tambahan nama Haji/Hajah sehinggalah saya tinggal di Timur Tengah. Nilai ini pecah berderai apabila saya mendengar bahawa perkataan ‘Ya Haji’ ini digunakan oleh orang Arab untuk memanggil para pelayan tua dan muda yang tidak diketahui namanya. Samalah seperti kita memanggil Mat Saleh - hey Mike!. Atau memanggil anak-anak muda - Alo...Bai! atau Yo...Bro!.

Beberapa hari sesudah sidang akhbar tergempar gedebe polis ini, saya terbaca susulan berita tentang gedebe ini dihadapkan ke mahkamah. Saya tidak tahu sama ada membawa gedebe ini ke mahkamah atas tuduhan rasuah sama seperti membawa Eric Chia ke mahkamah. Membawa gedebe-gedebe ke mahkamah ini hanyalah satu ‘sandiwara ulangan’ untuk mengolah persetujuan kerana pilihannya akan diadakan tidak lama lagi.

Akhbar sekali lagi, sama seperti kes Eric Chia dahulu telah berbondong-bondong membuat laporan muka hadapan. Sekali lagi akhbar arus perdana kita terlalai kerana sudut berita kesucian dan kemusliman gedebe ini telah gagal dijadikan induk berita.

Apa sebenarnya yang diminta oleh peguambela gedebe ini? “Tolong jangan rampas pasport orang yang di tuduh.” Jangan rampas pasport, kerana apa? Kerana orang yang dituduh hendak menunaikan fardhu haji pula. Hahahah. Mula-mula hendak pergi umrah kini hendak pergi naik haji pula.

Lihat dan pandang bagaimana agama telah dijadikan topeng dan dinding. Ibadah umrah tidak diwajibkan. Pergi menunaikan fardhu haji adalah satu yang wajib kepada Muslim yang memiliki keupayaan dana dan modal. Jika betul laporan akhbar, si gedebe ini ada memiliki harta karun yang lumayan. Maka gedebe ini wajib ke menunaikan ibadah haji di Mekah.

Ibadah haji telah digunakan untuk membuat tuntutan agar pasport gedebe ini tidak dirampas. Wah! Hebat. Bagaimana kalau misalnya Samy Vellu ditahan atas tuduhan rasuah, apakah dia boleh meminta agar pasportnya tidak dirampas kerana dia ingin ke Benares dua bulan sekali mengikut pasang surut air sungai Ganges di India? Dan bagaimana pula agaknya seorang Arab dari Arab Saudi yang ditahan di penjara Pudu atas tuduhan merosakkan sebuah hotel di Bukit Bintang? Bolehkah Tok Arab ini merayu agar pasportnya tidak dirampas kerana dia ingin ke Mekah?

Untuk saya semua ini karut bin marut. Di sini terbukti bahawa kenyataan Karl Marx tentang agama tidak lengkap. Agama hari ini sedang dijadikan topeng dan sabun untuk membersihkan diri dari dilihat sebagai penjenayah. Kesian Karl Marx, Phdnya dari Universiti Berlin tidak dapat mencakupi budaya Melayu Baru di Malaysia.

Tiada ulasan: