Rabu, 6 Julai 2011

Musykil betol! BERSIH jadi HALAL lepas jumpa agong!

Tujuh kemusykilan BERSIH.

Banyak pihak berasa sedikit lega apabila Ahli Jawatankuasa Bersih 2.0 bercadang untuk menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Mereka ingin menyuarakan hasrat mengadakan perhimpunan aman di stadium. Dan, Perdana Menteri sudahpun menyuarakan kesediaan beliau untuk membenarkan perhimpunan itu diadakan di situ, dengan syarat para pesertanya ‘pergi dengan aman, perhimpunan diadakan secara aman dan pulang dengan aman.’

Perhimpunan di stadium tentulah lebih baik, lebih bertanggungjawab dan lebih bertamadun. Namun, keputusan menukar bentuk perhimpunan itu sebenarnya membuatkan pihak-pihak yang terlibat perlu mengubah pula pelan masing-masing, tidak kira sama ada mengaplikasikan plan B mahupun back to the drawing board kerana pendekatan, bentuk dan kesan perhimpunan itu sendiri sudah bertukar wajah.

Benar, daripada satu segi, langkah ini mengendurkan bahang konflik emosi. Namun, apabila sesuatu cabaran itu dapat diselesaikan, cabaran yang lain pula yang timbul. Dan tidak semestinya cabaran hasil daripada keputusan yang diambil itu lebih rendah risikonya. Dinamika situasi ini harus ditangani dengan cermat. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan aktiviti manusia ramai yang pastinya akan terpengaruh dengan mob psychology.

Inilah yang menjadi kemusykilan kami di Sinar Harian. Kami berfikir, berbincang, bertelagah dan akhirnya sependapat, perhimpunan di stadium juga bakal menimbulkan pelbagai implikasi. Terdapat tujuh kemusykilan yang harus diambil perhatian dan perlu ditangani segera sebelum 9 Julai ini



1

Apakah membenarkan perhimpunan Bersih 2.0 itu bermakna Bersih 2.0 itu bukan lagi pertubuhan haram? Atau, apakah kini ia sudah halal? Akta apakah yang menghalalkannya? Atau, apakah Bersih 2.0 dibenarkan bergerak atas budi bicara ia sebagai sebuah jawatankuasa sementara dan perlu didaftarkan sebagai sebuah persatuan?


2

Apakah perhimpunan di stadium itu membolehkan para penyokong datang ke stadium dengan baju Bersih 2.0? Seandainya iya, ironinya ialah baju yang diharamkan kerana ia menggambarkan Bersih 2.0 kini sudah dihalalkan. Bagaimana pun, adalah pelik pula seandainya perhimpunan boleh diadakan tetapi pengharaman pakaian itu masih kekal.


3

Apakah perarakan di luar stadium tidak akan terjadi? Apabila Bersih 2.0 dibenarkan diadakan di stadium kelak, bagaimana pula keadaan konvoi bas dan kereta yang dipenuhi oleh penyokong-penyokong Bersih 2.0 yang datang daripada pelbagai arah? Tidakkah ia satu bentuk demonstrasi jalanan kerana ia berlaku di luar stadium? Apakah kita hanya akan membenarkan para penyokong memakai baju Bersih 2.0 hanya di dalam stadium untuk mengelak fenomena demonstrasi jalanan?


4

Bagaimana dengan kedudukan lebih 100 orang yang telah ditahan atas pelbagai tuduhan berkaitan Bersih 2.0 seperti menghasut dan memilih baju berimej pertubuhan haram? Apakah mereka akan terus didakwa atau pendakwaan ke atas mereka digugurkan?


5

Apakah perhimpunan di stadium dapat menjamin tiada penglibatan pihak ketiga? Apakah tidak mungkin mereka boleh menyusup masuk ke stadium dan mencetuskan kekecohan sehingga memudaratkan keselamatan negara?



6

Tujuan asal Bersih 2.0 adalah untuk berarak menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong. Apakah perhimpunan di stadium menepati maksud asal iaitu berarak ke Istana Negara? Apakah perhimpunan di stadium ini masih relevan dengan tujuan asal penganjur?



7

Apakah reaksi Perkasa dan golongan anti Bersih 2.0 termasuk pertubuhan silat? Hampir pasti mereka tidak akan hendak berhimpun di stadium yang lain pula. Jika demikian, apakah mereka akan terus berdiam diri?

Memuaskan hati semua pihak memanglah sukar. Tidak ada situasi kalah-kalah dalam keputusan membenarkan perhimpunan diadakan di stadium. Bagaimana pun, ia bukan juga situasi menang-menang pula bagi mana-mana pihak. Ia adalah keputusan yang betul. Tetapi, apakah ia keputusan yang tepat?

Tiada ulasan: