Rabu, 10 Februari 2010

Kes keracunan ‘arsenik Anwar’ ditangguh lagi!

HAKiM Hafizah Saun petang tadi menangguhkan lagi perbicaraan kes perhimpunan ‘arsenik Anwar’ kerana pasukan pendakwaraya bersama-sama Pengarah Siasatan Jenayah Polis Bukit Aman Datuk Bakri Zenin gagal hadir di kamar perbicaraan.

Hafizah, iaitu Hakim Majistret keenam yang membicarakan kes itu memberitahu Mahkamah bahawa perbicaraan akan ditangguhkan sehingga jam 10 pagi esok.


Pun begitu, sekiranya pasukan pendakwaraya gagal mengemukakan saksi, beliau akan memutuskan sama ada menggugurkan kes itu atau sebaliknya, pada Jumaat ini.

“Sekiranya sehingga Jumaat ini, tiada pendakwaraya dan saksi utama (Bakri), saya akan membuat keputusan untuk menutup kes ini atau tidak,” kata Hafizah dari Kamar 4, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.



Sang Pemberontak di Jalan Allah!


Dr. Mohd Hatta Md Ramli, iaitu salah seorang Orang Kena Tuduh (OKT) yang ditemui kemudian, berharap Hakim Hafizah menggugurkan kes tersebut kerana pendakwaraya gagal membawa kelapan-lapan saksi seperti yang dijanjikan sebelum ini.


“Hari ini, saksi utama (iaitu Bakri) sendiri tidak hadir dan kita berharap Hakim akan memutuskan supaya kes ini ditutup kerana pendakwaraya gagal membawa saksi,” jelasnya.


Beliau turut mempersoal komitmen pasukan pendakwaraya dalam sesi penghujahan sejak kes ini dibicarakan semula Isnin lalu.


“Lebih kurang lapan atau 9 orang saksi mereka (Pendakwaraya) gagal bawa walaupun sapina telah dihantar dan saya diberitahu dua anggota Polis tersebut telahpun bersara dan gagal dihubungi (oleh) pendakwaraya.”


“Kita sendiri pun tidak tahu apa sudah jadi dengan sapina, Bakri sendiri dan beberapa saksi enggan tampil (ke Mahkamah),” jelasnya.


Peguam bagi Hatta, Latheefa Koya yang ditemui kemudian turut meminta semua pihak menunggu keputusan kehakiman pada Jumaat ini.


Beliau turut menyuarakan hasrat supaya kes tersebut digugurkan seperti yang ditegaskan oleh anak guamannya.


Selain Hatta, beberapa saksi tuduh seperti Azmin Ali (kini Ahli Parlimen Gombak), Tian Chua (kini Ahli Parlimen Batu), Dr. Badrul Amin, Gobalakrisnan (kini Ahli Parlimen Padang Serai), Malik Hussin (Pegawai Khas bagi Ketua Pembangkang di Parlimen), Sivaras Rasiah (kini MP Subang) antara yang turut hadir di Mahkamah petang tadi.


Hishamuddin Rais, Mohamad Ezam Md Noor (kini pemuda Umno) antara 27 OKT yang yang tidak hadir di kamar perbicaraan petang tadi.


Seorang OKT lain, iaitu Paderi Goh Kiat Peng dilaporkan mengaku bersalah enam tahun yang lalu kerana mahu menunaikan suatu tanggungjawab di Timor-Timur.


Manakala dua OKT yang lain iaitu Omar Tan dan Mohamad Zaidi Mat Amin pula dilaporkan telah pun meninggal dunia.


Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu OKT kes liwat antara yang hadir memberi sokongan moral kepada semua OKT kes tersebut.


Sejak Isnin lalu, pendakwaraya memberitahu mahkamah bahawa mereka gagal mengemukakan saksi tuduh seperti yang disenaraikan sebelum ini, walaupun sapinan dari Mahkamah telahpun dikeluarkan.


Seramai 30 aktivis asalnya ditangkap pada 19 September 2009 lalu di perkarangan Masjid Negera Malaysia, kerana menyertai suatu perhimpunan aman untuk membantah penafian tindakan kerajaan menghalang hak Datuk Seri Anwar Ibrahim dari mendapatkan khidmat perubatan selepas disahkan terdedah pada racun arsenik di Kem Tahanan Kemunting (ISA).


Sebelum perarakan menuju ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum bantahan itu dilakukan, lebih 3000 rakyat menyertai solat hajat perdana yang diimamkan oleh Dr. Haron Din di dewan solat utama, Masjid Negara.


Kes tersebut merupakan antara kes yang unik dalam sejarah institusi Mahkamah di Malaysia, kerana perbicaraannya memakan masa lebih 11 tahun.

Tiada ulasan: