Ahad, 6 Februari 2011

PKR perlu Gerakan REVOLUSI bukan Reformasi BODEK!


Dalam tindakan mengejutkan, Pajudin Nordin, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah yang baru dilantik bulan lalu mengumumkan keluar parti itu dan menyertai Umno petang ini.

Beliau mengumumkan keputusan itu, yang dilihat satu lagi tamparan buat parti itu, ketika presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membuat persediaan untuk berada di Kota Kinabalu esok bagi menyelesaikan kemelut kepimpinan Pajudin, yang ditentang oleh 18 cabang baru-baru ini.Ketika mengumumkan pendirian itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman juga hadir sama.

“Saya kecewa dengan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan Dr Wan Azizah kerana mereka hanya memperbodohkan kami, pemimpin-pemimpin PKR Sabah,” kata beliau pada sidang media yang diadakan di kediaman rasmi Musa, Sri Gaya di Kota Kinabalu sekitar 6.30 petang tadi.

“Saya sangat kecewa kerana selama ini Anwar berkata PKR berjuang untuk Sabah dan hak-hak rakyat Sabah, tetapi beliau cakap tak serupa bikin,” kata Pajudin lagi.
Kata beliau ramai lagi akan mengikut langkahnya selepas ini.

Hanya beliau seorang sahaja mengumumkan pendirian itu hari ini.

The Malaysian Insider difahamkan Dr Wan Azizah akan tiba di Kota Kinabalu tengah hari esok dan kemudian mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Sabah petang esok.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail memberitahu The Malaysian Insider bahawa biro politik partinya telah memberi mandat kepada presiden parti itu untuk mengetuai misi damai tersebut.

Dr Wan Azizah, kata beliau, akan membentuk satu jawatankuasa terdiri daripada tiga pemimpin PKR Sabah dan beliau secara peribadi akan mengetuai delegasi ke Sabah esok.

Saifuddin berkata, keputusan itu tidak bermakna parti telah menolak atau menerima resolusi yang dikemukakan 18 daripada 25 cabang Selasa lalu mendesak penolakan Pajudin sebagai ketua PKR Sabah yang baru.

“Kami ada menerima resolusi tetapi biro politik merasakan kita harus memberikan presiden parti masa untuk menyelesaikan masalah di Sabah,” katanya.

“Jadi, Datuk Seri akan membentuk jawatankuasa khas terdiri daripada pemimpin-pemimpin Sabah dan beliau akan secara peribadi terbang ke Sabah untuk mengadakan pertemuan dengan kesemua pemimpin negeri,” kata beliau.

Seramai 18 pemimpin cabang PKR Sabah telah menyerahkan resolusi kepada parti bulan lalu meminta Pajudin digantikan dengan orang lain dan Dr Wan Azizah bertindak sebagai pemimpin sementara.

Resolusi itu ditandatangani oleh cabang Kota Belud, Sepanggar, Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Kimanis, Papar, Beaufort, Keningau, Pensiangan, Tenom, Libaran, Sandakan, Kinabatangan, Semporna, Kalabakan, Tawau dan Silam.

Mereka menyerahkan memorandum kepada Naib Presiden Fuziah Salleh yang membentangkan pada mesyuarat biro politik 26 Januari lalu.

Fuziah ketika dihubungi The Malaysian Insider petang ini mengesahkan perkembangan itu.

“Ada,” kata beliau.

Pajudin didakwa menjadi proksi Ansari Abdullah, yang mengetuai salah satu puak menentang kepimpinan bekas ketua PKR negeri Ahmad Thamrin Jaini.

Thamrin ketika dihubungi berkata, beliau hanya mendengar keputusan Pajudin tetapi tidak dapat mengesahkan perkara tersebut.

“Saya hanya boleh mengulas jika ada pengesahan. Dr Wan Azizah akan menemui pemimpin Sabah petang esok,” katanya.

Pelantikan Pajudin diumumkan awal bulan lalu dalam satu rombakan susulan pemilihan pusat tahun lalu menggantikan Thamrin.

Sebelum ini PKR Sabah juga berhadapan dengan masalah termasuk keputusan bekas naib presiden Datuk Jeffrey Kitingan dan kira-kira 27 yang lain keluar PKR untuk menubuhkan badan bukan kerajaan Barisan Bersatu Borneo (UBF).

Dalam pada itu Bernama melaporkan, Pajudin berkata: “Setelah melihat perkembangan politik, saya seterusnya memohon untuk menyertai Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana hanya BN yang telah lama memperjuangkan hak rakyat dan banyak menyumbang kepada rakyat.”

Katanya, beliau telah mengemukakan surat peletakan jawatan lewat petang tadi melalui faks, SMS dan e-mel ke PKR pusat dan percaya ramai lagi ahli PKR terutamanya ketua-ketua dan ahli jawatankuasa cabang akan turut serta meninggalkan parti kerana ada yang menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap cara kepimpinan pusat.

“Saya percaya keputusan untuk keluar dari PKR akan disusuli oleh ramai lagi rakan kepimpinan yang berada dalam PKR Sabah bila melihat senario politik PKR yang kita anggap sebagai satu parti yang sudah kucar-kacir, tidak ada hala tuju dan tidak ada pembelaan daripada pemimpin-pemimpin di peringkat pusat,” tambah beliau.

Sebelum ini pelantikan Pajudin sebagai ketua PKR Sabah merupakan satu kejutan kerana ini pertama kalinya pemimpin bagi negeri Sabah dilantik dari bukan kalangan ketua-ketua cabang dalam parti itu.

Pajudin merupakan Naib ketua cabang PKR Tuaran.

Pajudin yang menyertai PKR sejak 1999 berkata walaupun selepas dilantik sebagai ketua PKR Sabah, beliau tidak pernah mendapat kerjasama dan sokongan dari Anwar dan Dr Wan Azizah, dan ini menunjukkan mereka “sengaja mempermain-mainkan” pemimpin PKR Sabah.

Ditanya sama ada beliau keluar dari parti disebabkan bantahan daripada 18 ketua cabang terhadap perlantikan beliau, Pajudin berkata: “Tidak.”

“Bagi saya setelah dilantik oleh presiden melalui perlembagaan parti, maka saya anggap perkara itu sudah selesai,” katanya.

Sementara itu Musa berkata trend satu demi satu pemimpin PKR keluar daripada parti, jelas menunjukkan bahawa PKR dan Pakatan Rakyat tidak relevan lagi di negara ini atau di negeri Sabah kerana mereka sedar parti itu tidak akan membawa apa-apa manfaat kepada rakyat.

“Saya mengalu-alukan permohonan beliau menjadi ahli Umno... kita akan terima permohonannya dan ini kita akan proses seperti biasa,” tambah Musa.

Ditanya sama ada Umno Sabah lebih yakin menghadapi pilihan raya akan datang berikutan perkembangan ini, Musa menjelaskan Umno sentiasa bersedia dan mempunyai keyakinan kerana parti itu telah bekerja keras, sentiasa mendampingi dan membantu rakyat.

Tiada ulasan: