Ahad, 6 Februari 2011

Rakyat Mesir Meneruskan Revolusi hari ke-12

Demonstrasi besar-besaran yang kini memasuki hari ke-12, masih diteruskan di ibu kota Mesir, beberapa jam selepas ratusan ribu penunjuk perasaan berkumpul di hadapan kediaman rasmi Presiden Hosni Mubarak, semalam.

Puluhan ribu orang membanjiri jalan raya di Mesir, termasuk di Iskandariah, Mahalla dan Giza, selepas solat Jumaat, dalam protes yang digelar Hari Keberangkatan dalam menuntut Mubarak meletak jawatan segera selepas memerintah selama 30 tahun.

Protes tetap diteruskan sehingga malam, mengingkari perintah berkurung yang tidak pernah dipatuhi sejak ia mula dikuatkuasakan, minggu lalu.

Seorang penunjuk perasaan ketika ditemu bual rangkaian berita televisyen Arab, Al Jazeera berkata, demonstrasi tetap akan diteruskan sehingga Mubarak benar-benar letak jawatan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri baru Mesir, Ahmed Shafiq berkata, Mubarak tidak akan menyerahkan kuasanya kepada Timbalan Presidennya, Omar Suleiman, sebelum pilihan raya September depan diadakan.

"Presiden Mubarak tidak boleh letak jawatan sekarang kerana beliau masih diperlukan dalam Kabinet kerana sebab perundangan," katanya.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menegaskan proses peralihan kuasa harus bermula sekarang dan ia mesti dilakukan dalam keadaan yang tenang.

"Proses peralihan kuasa yang sukses dan tertib haruslah bermakna dan mampu melaksanakan tuntutan sah orang ramai yang mencari masa depan yang lebih baik," katanya.

Tiada ulasan: